Majoriti graduan muda ijazah sarjana muda atau sarjana lanjutan bidang sains Perpustakaan tertanya-tanya, dimana hala tuju yang perlu diterokai selepas menamatkan pengajian. Pada awal pengajian, pelajar menjangkakan wujudnya peluang besar selepas bergraduasi sama ada berpeluang menjawat jawatan Pustakawan di Perpustakaan Akademik, Awam mahupun Perpustakaan Khas. Akan tetapi, hakikatnya bidang kepustakawanan kini menawarkan peluang yang semakin kecil dan sistem penggajian yang kurang menarik. Tambahan pula, graduan kini disarankan cendurung kepada bidang keusahawanan dan bidang kerjaya professional yang lain sebagai pilihan utama masa depan mereka. Mengapa perkara sebegini terjadi? Hasil tinjauan secara rawak, terdapat dua punca utama secara umum yang menyumbang kepada persepsi sebegini.
Trend mewujudkan & memperkukuhkan jawatan professsional Pustakawan kurang diambil berat pemegang taruh.
Menjadi persoalan terhadap wujudnya persepsi sebilangan graduan bahawa penawaran kerjaya sebagai Pustakawan semakin menguncup dan mengecil. Wujudnya persepsi mengatakan sesebuah organisasi hanya mewujudkan sesebuah Perpustakaan dalam keadaan keterpaksaan disebabkan perlu memenuhi kriteria dan syarat yang diperuntukkan oleh kerajaan yang bertanggungjawab dengan akreditasi dan standard pengurusan kualiti. Sekiranya tiada polisi sebegitu, Perpustakaan tidak perlu diwujudkan langsung pun bukanlah menjadi masalah dan keutamaan disebabkan kebergantungan kepada organisasi seperti Amazon.com adalah alternatif yang lebih baik.
Selain itu, struktur sistem penggajian dan halatuju perkembangan kerjaya sebagai seorang Pustakawan kurang diambil perhatian yang serius oleh pemimpin dan organisasi berpengaruh. Sebagai contoh, masih terdapat segelintir Perpustakaan yang hanya melantik seorang graduan saja bagi menjalankan keseluruhan operasi Perpustakaan dan selainnya dibantu staf pentadbiran dan staf sokongan perpustakaan yang tidak mempunyai kelayakan sijil ataupun diploma sains perpustakaan. Tambahan pula, wujud Perpustakaan yang tidak mempunyai seorang staf sokongan pun untuk membantu kerja-kerja Pustakawan. Hal ini menyebabkan seorang Pustakawan itu saja yang terpaksa menjalankan pelbagai bidang tugas untuk semua perkara. Sekiranya Pustakawan tersebut cuti sakit, staf daripada lain-lain bahagian pentadbiran akan terpaksa mengantinya. Apabila tiada penganti, Perpustakaan terpaksa ditutup.
Sementara itu, dikhabarkan terdapat beberapa organisasi yang menguruskan Perpustakaan kini berada didalam dilema disebabkan kos operasi yang semakin tinggi. Hal ini sekaligus memaksa organisasi terbabit melaksanakan proses 'downsizing'. Natijahnya, Perpustakaan menjadi mangsa untuk proses tersebut sehingga peruntukan yang sedia ada tidak mampu menampung kos operasi dan pengurusan Perpustakaan itu sendiri.
Membuka peluang kepada profesional dari lain-lain bidang menerajui Perpustakaan.
Dikhabarkan pula, kini penawaran jawatan tertinggi bagi Perpustakaan terutama dalam agensi kerajaan iaitu Ketua Pustakawan dibuka seluas-luasnya kepada mana-mana pihak. Misalnya, pegawai tadbir diplomatik atau pegawai bahagian pentadbiran dan pengurusan mahupun pensyarah yang tidak pernah berkhidmat di perpustakaan kini boleh berebut kekosongan jawatan Ketua Pustakawan dimana-mana organisasi. Apakah ini benar? dan ianya sudah berlaku?
Natijahnya, graduan baru melihat ini sebagai cabaran yang semakin kritikal dan sebagai satu tanda pengecilan peluang kepada bidang yang dipelajari. Sekaligus mewujudkan stigma samarnya masa depan kerjaya Pustakawan.
Oleh yang demikian, apakah langkah yang holistik perlu diambil bagi menangani persepsi sebegini?
(Penyataan ini adalah berdasarkan pemerhatian pandangan umum graduan-graduan muda sains Perpustakaan, sekiranya tidak bersetuju pembaca boleh memberikan komentar yang sepatutnya)