Sumber: http://www.kck.usm.my/index.php/9-hebahan/112-pendaftaran?&cal_offset=-32p
Written by Nik Sheila Erini Che Mat Kamel
KUBANG KERIAN, 21 Mei 2015 - Perpustakaan bergerak merupakan perkhidmatan penting sebagai wadah ilmu kepada masyarakat. Untuk mendekatkan buku dengan orang ramai khususnya pesakit, Perpustakaan Hamdan Tahir, Kampus Kesihatan Univerisiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Hospital USM mengambil inisiatif merangka program Perkhidmatan Perpustakaan Bergerak (Mobile Library).
Menurut Timbalan Pengarah Klinikal Hospital USM, Dr Mohamad Rosdi Abdul Rahman, ini merupakan perpustakaan bergerak pertama diwujudkan di hospital seluruh Malaysia yang mula memberi perkhidmatan sejak 21 April 2013 di tiga Wad Pediatrik iaitu 6 Selatan, 6 Utara dan 2 Selatan.
"Sehingga Januari 2015, sebanyak 9,337 transaksi pinjaman buku oleh pesakit pediatrik dan peneman-peneman telah direkodkan sepanjang aktiviti ini dijalankan pada setiap hari Ahad setiap minggu yang diharapkan membantu mengurangkan tekanan dalam diri pesakit dengan penyakit yang dihidapinya selain menerima perubahan baru untuk mengisi masa terluang dengan aktiviti membaca," katanya ketika merasmikan Perkhidmatan Perpustakaan Bergerak di Ruang Legar Tingkat Enam, Hospital USM hari ini.
Tambahnya, perpustakaan bergerak ini juga bertujuan memupuk minat membaca dan menghargai ilmu dalam kalangan kanak-kanak sejak di peringkat awal lagi bak kata pepatah 'melentur buluh biar dari rebungnya.
"Pepatah ini memberi pesanan kepada kita supaya memberi didikan dan tunjuk ajar yang baik sejak dari awal lagi supaya perkara tersebut berterusan sehingga dewasa di samping menggalakkan pembaca cilik membaca tanpa mengira keadaan mereka, sama ada sihat ataupun sakit serta lebih seronok berada di wad sepanjang hari bagi menjalani rawatan terutama apabila peneman membacakan cerita-cerita yang menarik untuk mereka yang juga mampu mengubat kesakitan dan kesunyian yang dialami mereka," jelas Mohamad Rosdi.
Perkhidmatan yang dijalankan secara percuma dan sukarela ini membantu golongan terkebawah yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat luar bandar dalam mengurangkan jurang ilmu dan maklumat dalam kalangan masyarakat hasil daripada ledakan teknologi maklumat yang sentiasa berkembang pesat.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan Hamdan Tahir Kampus Kesihatan USM Engku Razifah Engku Chik, Ketua Penolong Pengarah Klinikal Hospital USM Dr Tengku Mastura Tengku Mohd, pakar-pakar Pediatrik serta pengurusan tertinggi Unit Kejururawatan Hospital USM.
Tanyalah Pustakawan | Ask-a-Librarian Malaysia
Malaysian Librarians' initiatives to promote indulgence of sharing information and advocating the librarianship issues.
Monday, December 28, 2015
Sunday, October 18, 2015
PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL SECARA LESTARI DI KALANGAN PUSTAKAWAN (SUSTAINABLE USE OF SOCIAL MEDIA AMONG LIBRARIANS)
Library Innovation Talk 2015 & 3rd KKPI Annual
Meeting
PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL SECARA LESTARI
DI KALANGAN PUSTAKAWAN
(SUSTAINABLE USE OF SOCIAL MEDIA AMONG
LIBRARIANS)
Muhammad Akmal Ahmat
Bahagian Rujukan & Penyelidikan,
Perpustakaan Hamzah Sendut
Universiti Sains
Malaysia
Pulau Pinang,
Malaysia
akmal_ahmat@usm.my
Abstract - There
are many research studies that provide recommendations for the libraries to be active
in social media. This showed that social media is the important modern
communication application for spread-widely the promotion of library services to
local and international communities. However, how about the importance of using social media in order to increase the positive perception towards the librarian
profession?. Furthermore, Why are there needs for a
librarian to utilize the social media sustainably? This is an article all about.
Abstrak – Terdapat
banyak kajian penyelidikan yang memberi saranan kepada Perpustakaan untuk aktif
di media sosial. Hal ini menunjukkan bahawa media sosial merupakan aplikasi
komunikasi moden yang penting untuk menghebah luas perkhidmatan Perpustakaan
kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa. Namun, bagaimana pula kepentingan media
sosial dalam meningkatkan persepsi positif masyarakat terhadap kerjaya Pustakawan?.
Tambahan pula, Mengapakah wujud keperluan seseorang Pustakawan memanfaatkan
penggunaan media sosial secara lestari? Hal inilah yang cuba dikupas dalam
artikel ini.
Masyarakat
sedia maklum media sosial merupakan aplikasi elektronik yang membolehkan
manusia berhubung dan mengakses maklumat dengan lebih mudah melalui talian
internet. Rekod menunjukkan bahawa media sosial antara menjadi
pilihan utama lebih 750 juta pengguna internet pada tahun 2007 untuk
berkomunikasi dan berkongsi maklumat selari dengan perkembangan pesat teknologi
Web 2.0 (Ian R, 2008). Kini, terdapat 3.2 billion pengguna internet yang sedang
berlegar-legar menggunakan pelbagai jenis aplikasi media sosial. Seusai
peredaran zaman, pelbagai jenama dan reka bentuk aplikasi telah wujud. Permulaan
sejarah moden media sosial iaitu pada tahun 1995 telah menunjukkan bahawa
masyarakat dunia begitu tertarik menggunakan aplikasi IRC (Internet Relay Chat).
IRC pernah menjadi pilihan utama sebagai aplikasi komunikasi internet sehingga
pada tahun 2003. Populasi pengguna yang tertinggi pernah direkodkan mencapai 1
juta orang (Wiliams, A.,2013). Namun, populasi pengguna IRC kian merosot pada ketika
ini. Hal yang sama juga berlaku pada aplikasi Friendster & MySpace. Ketiga-tiga
aplikasi-aplikasi terbabit tidak dapat bertahan lama apabila wujud aplikasi-aplikasi
yang lebih inovatif. Akibatnya, berlaku penurunan mendadak bagi populasi
pengguna aplikasi-aplikasi tersebut. Kemunculan aplikasi seperti Facebook,
Whatsapp, dan Twitter yang sentiasa kompetitif dan mampu berdaya saing telah berjaya
menarik perhatian masyarakat dunia.
Ketiga-tiga (3) platform media sosial yang popular ini berjaya menyediakan
pelbagai variasi dalam tetapan fungsi. Hal ini mendorong peningkatan populasi
pengguna sehingga melebihi 300 juta ke 1.1 bilion pengguna. Menjadi persoalan
kekuatan sebenar tiga (3) jenama aplikasi media sosial tersebut yang sehingga
hari ini mampu kekal menyediakan perkhidmatan terbaik dan menarik minat
pelbagai latar belakang golongan masyarakat termasuk Pustakawan sendiri dengan
angka populasi yang sebegitu besar. Menurut Kaplan, A. M., & Haenlein, M.
(2010) dan Alsanie, S. I. (2015), sebab utama aplikasi media sosial ini berjaya
menarik minat pelbagai golongan adalah kerana mudah digunakan untuk
berkomunikasi dalam pelbagai dimensi sama ada dalam bentuk suara, mesej secara
emel, mesej bergambar, mahupun berkongsi pautan maklumat dengan satu klik
sahaja. Sinergi pelbagai dimensi yang berfungsi dalam satu aplikasi ini menjadi
kunci kejayaan ketiga-tiga (3) platform media sosial tersebut.
Peranan
Pustakawan di Media Sosial
Dalam tempoh lima belas tahun, terdapat lebih daripada 8,500 artikel
penyelidikan yang membincangkan secara ilmiah peranan Perpustakaan dan
lain-lain organisasi pengurusan maklumat terhadap isu media sosial (Gaha, U.,
& Hall, S. , 2015). Majoriti artikel ilmiah tersebut mendedahkan keperluan
Pustakawan memainkan peranan penting di media sosial. Kenyataan popular yang
sering ditekankan ialah media sosial memudahkan gerak kerja mempromosi
perkhidmatan Perpustakaan. Penzahiran perkhidmatan Perpustakaan di media sosial pula dikatakan
amat penting sebagai langkah mengeratkan perhubungan dengan masyarakat. Namun, timbul persoalan adakah langkah yang dilaksanakan kini sudah memuaskan hati majoriti masyarakat
dan sudah cukup lestari membentuk persepsi positif terhadap kerjaya Pustakawan
atau sebaliknya?. Sebagai contoh, mengapa masyarakat lebih berminat mengunjungi halaman (page) Facebook
milik "Oh Media" dan "The Vocket" mahupun individu berstatus selebriti untuk mendapatkan maklumat. Mengapa halaman milik Perpustakaan mahupun Pustakawan secara individu itu sendiri kurang mendapat sambutan?. Bukankah Perpustakaan dan Pustakawan itu sendiri adalah pusat maklumat? Seterusnya, adakah Pustakawan masih ada peluang untuk menarik minat lebih ramai bilangan anggota masyarakat mengunjungi halaman milik Perpustakaan dan yang lebih penting halaman Pustakawan itu sendiri?. Ya, sebenarnya Pustakawan masih ada peluang untuk menjadi seperti yang dinyatakan dengan syarat bahawa strategi yang lebih baik dan lestari perlu dilaksanakan.
Oleh itu, apakah sebenarnya strategi-strategi yang perlu diketahui oleh semua Pustakawan?.
Melestarikan Fungsi
Media Sosial
Menurut kajian (Gaha, U., &
Hall, S. , 2015) Pustakawan
disaran melestarikan penggunaan media sosial. Kelestarian yang dimaksudkan
adalah Pustakawan perlu mengimbangi dan melibat sama secara berterusan dan
produktif ketika menggunakan aplikasi
media sosial. Kelestarian penggunaan aplikasi media sosial akan lebih mudah
dilakukan dengan memahami dan mengaplikasikan konsep asas blok-blok fungsi seperti
berikut. Kietzmann, J. H., Hermkens, K., McCarthy, I. P., & Silvestre, B.
S. (2011) mengetengahkan tujuh (7) blok fungsi yang perlu diberi perhatian
semasa menggunakan media sosial, iaitu:-
Blok fungsi pertama adalah
paparan identiti. Pustakawan seharusnya perlu mencipta nama organisasi atau nama
persendirian yang mudah diingati oleh komuniti media sosial. Kemudian, maklumat
yang dipaparkan pula perlu jelas dan telus terutama gambar, bidang kepakaran,
dan perkhidmatan atau produk yang disediakan. Hal ini amat penting sebagai satu
cara untuk memperkenalkan diri sebagai seorang Pustakawan yang telus tanpa
prejudis serta menunjukkan niat yang baik tanpa ada agenda tersembunyi. Malah,
bagi setiap Pustakawan yang menjadi pentadbir halaman atau grup adalah perlu
untuk memaparkan identiti yang sebenar dan boleh dipercayai. Lantaran itu, pengikut
sesebuah halaman media sosial itu dapat mempercayai ketelusan objektif grup
atau halaman yang dibina. Sekaligus, pengikut juga akan mengikuti jejak langkah
yang sama dengan memaparkan identiti yang sebenar. Pustakawan perlu sedar
bahawa identiti adalah jenama bagi seseorang individu atau organisasi.
Pustakawan perlu menonjolkan identiti dengan perilaku yang lebih peramah dan
ceria. Di samping itu juga, Pustakawan wajib mengetahui tentang kerahsiaan dan
privasi sesuatu maklumat seperti nombor kad pengenalan, tarikh lahir, dan
nombor kad kredit yang tidak boleh sewenang-wenangnya didedahkan di media
sosial.
Blok fungsi kedua adalah rekabentuk
perbincangan. Media sosial menawarkan tetapan fungsi kepada pengguna bagi
membolehkan rakan-rakan atau pengikut berbincang secara terbuka atau tertutup.
Pustakawan semestinya digalak membina perbincangan yang matang. Antara
kaedah-kaedah yang boleh dilakukan untuk membina perbincangan secara matang
adalah seperti berikut. Sebagai permulaan, Pustakawan perlu menetapkan objektif
sesuatu perbincangan yang ingin dibina. Selanjutnya, Pustakawan perlu menetapkan
sesi perbincangan tersebut dibuat secara tertutup atau terbuka sama ada di
ruang personal atau grup media sosial. Kemudian, Pustakawan perlu mengolah dan
mentadbir sesuatu perbincangan ke arah merungkai jalan penyelesaian terhadap
sesuatu isu. Semasa perbincangan berlangsung, Pustakawan boleh menyampaikan
idea dengan pelbagai bentuk mesej sama ada teks, gambar, video mahupun pautan
laman sesawang. Setiap sesi perbincangan pula perlu mengikut garis panduan yang
bersesuaian dengan batas-batas tertentu berdasarkan norma-norma peradaban
manusia. Elakkan sesuatu perdebatan yang boleh membawa kemudaratan kepada orang
lain seperti pertelingkahan yang tiada henti, sehingga boleh membawa kepada
ancaman bunuh. Pustakawan juga perlu mahir mengalirkan arus positif dalam
mengetengahkan idea dan tahu bagaimana mesej yang hendak disampaikan tepat ke
sasarannya.
Blok
fungsi ketiga adalah tatacara perkongsian maklumat. Pustakawan perlu mahir
mendapatkan maklumat yang sahih, mengolah dengan teratur dan menghebahkan ke
saluran yang diperlukan serta yang lebih penting adalah hebahan tersebut
dilakukan tepat pada masanya. Dengan kata yang lebih mudah, setiap perkongsian
maklumat memerlukan teknik yang betul dan efektif. Walaubagaimanapun, setiap perkongsian
maklumat juga perlu menitikberatkan kesan akan wujudnya salah faham dan
persepsi negatif. Elakkan perkongsian maklumat yang boleh mengancam keselamatan
diri dan orang lain seperti pemberitahuan maklumat lokasi dan data peribadi
sehingga memberi peluang kepada penjenayah siber menjalankan modus operandi
jenayah. Pustakawan juga perlu diingatkan tentang perlunya berhati-hati ketika
menyampaikan maklumat yang kurang sahih. Ketika itu sebenarnya tahap
professional Pustakawan diuji dalam memastikan kesahihan sesuatu kandungan
mesej atau maklumat tersebut. Sementara itu, isu hak cipta dan harta intelek
juga perlu dititikberatkan; terutama sebelum, semasa dan selepas mencipta sesuatu
video kompilasi dengan menggunakan lagu latar yang dilindungi oleh pencipta sesebuah
lagu, atau berkongsi imej dan warkah penulisan yang dicedok daripada buku atau
medium yang lain.
Blok
fungsi keempat adalah tahap kebolehlihatan. Fungsi media sosial ini memberi peluang
kepada Pustakawan untuk menonjolkan diri sehingga menjadi perhatian pengguna-pengguna
media sosial yang belum dikenali. Terpulang kepada setiap Pustakawan yang
bergerak aktif di media sosial untuk menentukan sama ada tahap kebolehlihatan yang
diingini berada pada radius rakan-rakan terdekat sahaja atau ke peringkat yang
lebih meluas; dimana sesiapa sahaja boleh lihat aktiviti Pustakawan terbabit.
Perlu diingat sekali lagi, seluas mana radius kebolehlihatan tersebut
dilaksanakan; isu keselamatan juga perlu diutamakan. Perlu diingat bahawa setiap
aplikasi media sosial ada kekangan tetapan fungsi. Pustakawan tidak boleh
meletakkan seratus peratus kebergantungan kepada aplikasi media sosial untuk
melindungi hak privasi.
Blok
fungsi kelima adalah pembentukan perhubungan. Media sosial memberi variasi
kepada Pustakawan sama ada ingin mewujudkan perhubungan secara formal atau
tidak formal. Terdapat pelbagai bentuk tetapan fungsi perhubungan boleh ditentukan
seperti “follower”, “like”, “connect” ataupun “close friends”. LinkedIn dan
Academia.edu adalah antara contoh aplikasi media sosial yang membolehkan Pustakawan
mewujudkan perhubungan secara formal dan professional. Seterusnya, Whatsapp dan
WeChat pula adalah contoh aplikasi media sosial yang mewujudkan perhubungan tidak
formal. Aplikasi tersebut seakan sama dengan “Short Message Service” (SMS) dan “Multimedia
Messaging Service” (MMS). Namun, terdapat perbezaan dari segi variasi tetapan
fungsi yang disediakan iaitu perkongsian gambar dan pembentukan “group chat”. Selanjutnya,
Facebook pula menyediakan tetapan fungsi yang lebih banyak dimana Pustakawan
boleh mewujudkan dua dalam satu bentuk perhubungan sama ada formal dan tidak formal.
Blok
fungsi keenam adalah pembinaan reputasi. Aplikasi media sosial menyediakan
tetapan fungsi yang berkonsepkan “Mechanical Turk” bagi membolehkan sesebuah aplikasi
itu menghidupkan tarikan visibiliti secara automatik bermula disekeliling pengikut
atau rakan terdekat sehingga ke peringkat yang lebih meluas melangkaui kebolehlihatan
pelbagai latar belakang pengguna media sosial di serata dunia. Pustakawan hanya
perlu mahir menyusun atur dan menyampaikan pelbagai bentuk kandungan mesej atau
maklumat; tidak kira teks, audio atau video yang menarik perhatian. Dengan
kaedah tersebut, pengikut dan rakan Pustakawan akan terdorong untuk berkongsi
mesej yang diterbitkan sehingga wujud peningkatan dari segi “rating” dan “viral”
ke tahap yang lebih meluas. Kesannya, lebih banyak penyertaan rakan dan pengikut
yang baru ke halaman media sosial Pustakawan itu sendiri. Acap kali kandungan
mesej yang sering mendapat “viral” tertinggi adalah mesej atau maklumat berbentuk
video yang dilakon semula. Contohnya, adaptasi video lagu “Let it go” yang
dinyanyikan semula Alex Boyé bersama One Voice Children’s Choir yang
telah mencapai lebih daripada 71 juta kali tontonan.
Blok
fungsi ketujuh adalah pembinaan pengaruh kumpulan. Aplikasi media sosial
menyediakan tetapan fungsi untuk membina pengaruh sesebuah kumpulan, grup atau
forum yang ditadbir dan dikawal selia oleh seorang individu atau lebih.
Pentadbir kumpulan tersebut selalunya diberikan kelebihan-kelebihan fungsi
tertentu; contohnya, menerima, menolak dan menyenarai hitam penyertaan
mana-mana ahli kumpulan. Setiap grup atau kumpulan yang mempunyai lebih besar
jaringan ahlinya, maka adalah lebih besar tanggungjawab pentadbir kumpulan
tersebut. Selagi mana ahli kumpulan menyampaikan pandangan masing-masing
terhadap sesuatu perkara atau perkongsian maklumat itu dengan tertib dan
berhemah, ianya tidak menjadi masalah kepada pentadbir. Pentadbir hanya perlu
menggunakan tetapan fungsi pada aplikasi dengan cara autokratik pada situasi
yang kritikal sahaja. Terpulang juga kepada polisi dan kata sepakat sesuatu grup
atau kumpulan itu. Ahli kumpulan pula perlu mahir mengadaptasi situasi untuk
melibat sama dalam aktiviti grup. Dengan itu, tidak mustahil mana-mana ahli
kumpulan yang cemerlang berinteraksi pula dilantik sebagai pentadbir.
Daripada huraian ketujuh-tujuh blok fungsi tersebut,
Pustakawan perlu diingatkan supaya mengambil langkah mengurus yang efisyen bagi
mengelakkan diri sendiri dalam keadaan keliru dan kepenatan akibat terlalu lama
menggunakan terlalu banyak aplikasi media sosial dalam satu-satu masa. Hal ini
boleh dielakkan dengan mengaplikasikan konsep “Plan, Do, Check, Action” (PDCA)
atau “Specific Measurable, Assignable, Realistic, dan Time-related” (SMART) ketika
menggunakan media sosial.
Cabaran
melestarikan penggunaan Media Sosial
Terdapat
pelbagai cabaran melestarikan penggunaan media sosial. Namun, menurut kajian Taylor
& Francis (2014), terdapat tiga (3) cabaran utama yang perlu dihadapi oleh
Pustakawan semasa menggunakan media sosial secara aktif. Dapatan kajian yang tersebut
menyatakan bahawa seramai 67% daripada 497 responden yang terdiri daripada Pustakawan
menyatakan kesukaran mengurus masa dan menggunakan sumber sedia ada di media sosial.
Selain itu, 64% responden mengatakan sukar mengolah nada berkomunikasi sama ada
dalam keadaan ton formal atau tidak formal ketika membina perbincangan.
Seterusnya, 61% responden menyatakan sukar membuat pengguna media sosial peka
terhadap aktiviti Perpustakaan di media sosial.
Namun begitu, terdapat dua
perkara yang sebenarnya mencabar Pustakawan terutama di Malaysia. Dua perkara tersebut adalah:-
Pertama, kebolehupayaan seseorang
Pustakawan itu mengadaptasi dengan pantas terhadap pelbagai rekabentuk dan
perubahan ciri-ciri tetapan fungsi yang kerap berlaku dalam aplikasi media
sosial. Pustakawan perlu mahir memerhati dan sentiasa bersedia mempelajari
kaedah menggunakan tetapan fungsi yang disediakan oleh aplikasi media sosial.
Selain itu, Pustakawan juga perlu tahu kelebihan dan kekurangan yang ada dalam
satu-satu jenis aplikasi media sosial. Hal ini kerana terdapat pelbagai jenis
aplikasi media sosial yang dicipta dengan tujuan tertentu dan Pustakawan perlu
pilih jenis aplikasi media sosial yang sesuai dengan keperluan dirinya. Sebagai
contoh, Pustakawan akademik digalakkan menggunakan LinkedIn dan Academia.edu untuk
meningkatkan kompetensi sosial dengan ahli akademik dan penyelidik professional
yang merupakan skop pelanggan mereka.
Kedua, kebolehupayaan
membudayakan amalan dan melaksanakan polisi terbaik ketika menggunakan media
sosial. Majoriti Pustakawan sukar membudayakan amalan terbaik ketika
menggunakan media sosial bagi memastikan aura perhubungan yang diciptanya sentiasa
berada dalam keadaan yang telus dan positif. Misalnya, terdapat Pustakawan yang
masih menggunakan identiti proksi yang dikenali sebagai “internet sockpuppet”
terutama apabila memberi komentar dalam sesebuah perbincangan dalam grup
mahupun halaman media sosial yang besar. Seharusnya, Pustakawan yang tidak
bersehaluan dengan sesuatu perkara perlu berani menggunakan identiti sendiri. Selain
itu, pelaksanaan polisi terbaik seperti halangan terhadap catatan yang berunsur
lucah dan perilaku buli di halaman media sosial perlu dikuatkuasakan. Walaupun
begitu, Pustakawan sebenarnya dicabar dengan keadaan yang diluar kawalan.
Sebagai contoh, terdapat sebaran virus catatan lucah yang sering menular dalam
grup dan halaman persendirian Facebook tanpa pengetahuan pemunya identiti itu sendiri.
Hal sebegini sedikit sebanyak boleh menjejaskan imej Pustakawan sekiranya
dilantik sebagai pentadbir sesebuah
halaman media sosial. Oleh itu, Pustakawan perlu sentiasa peka dan menangani
isu terbabit dengan pantas dan terkawal.
Masa Depan
Media Sosial
Untuk pengetahuan, media sosial kini
bukan sahaja semata-mata bertujuan sebagai aplikasi penghubungan antara sesama manusia
secara atas talian malah lebih daripada itu. Pustakawan boleh lihat bahawa aliran
semasa perubahan media sosial yang sedang berkembang ke arah situasi seperti
berikut;
Pertama, media sosial sedang
berkembang sebagai alat perantara untuk menjana pendapatan. Sesiapapun malah
Pustakawan kini boleh mula mencipta dan menawarkan langganan perkhidmatan serta
penjualan produk yang lebih inovatif di media sosial; antaranya adalah dengan menawarkan
perkhidmatan berbayar dalam aplikasi permainan atas talian. Nampak jangkal dan sukar
dilaksanakan. Namun, lihatlah kejayaan pencipta permainan Farmville iaitu Mark
Pincus; yang asalnya merupakan penganalisis kewangan tetapi berjaya menjana
aset pendapatan sehingga USD 1 billion dengan menawarkan perkhidmatan berbayar
selepas jualan untuk aplikasi tersebut. Untuk pengetahuan, permainan Farmville
sebenarnya membolehkan seseorang pemain melibatkan diri secara maya dalam
pelbagai aspek pengurusan peladangan seperti membajak tanah, penyemaian dan
penuaian tanaman serta meningkatkan ternakan haiwan. Walaupun objektifnya
tampak sekadar hiburan semata-mata tetapi secara tidak langsung, seseorang
pemain juga sebenarnya dapat membina tahap literasi maklumat yang lebih baik berkaitan
dengan bidang peladangan meskipun dalam bentuk visual semata-mata. Di samping
itu, sungguhpun terdapat sebilangan pengguna media sosial tidak gemar aplikasi
permainan Farmville ini; namun, Farmville masih berjaya menarik perhatian
kelompok pemain yang tersendiri. Selain itu, wujud konsep baru dalam menjana
pendapatan yang kini giat berlaku di media sosial. Ianya dikenali sebagai “crowdsourcing”
atau “crowdfunding”. Konsep sebegini dihuraikan oleh Enrique Estellés-Arolas &
Fernando González Ladrón-de-Guevara (2012), sebagai proses mendapatkan dana
bagi merealisasikan sesebuah idea atau kempen, atau menyampaikan sesuatu
perkhidmatan yang bukan berunsur
keuntungan atau komersil semata-mata; iaitu dengan meminta sumbangan secara
atas talian daripada individu-individu atau organisasi yang teruja melihat sesuatu
idea tersebut untuk dilaksanakan. Dengan kaedah “crowdsourcing”, sesebuah
projek atau kempen boleh dijayakan dengan sokongan modal yang kuat daripada
orang ramai tanpa melalui proses birokrasi pinjaman bank. Akan tetapi, setiap
fasa pelaksanaan projek perlu disertakan laporan secara kerap di media sosial.
Di Malaysia, projek “crowdsourcing” yang dikatakan paling berjaya adalah projek
“the Third (3rd) Force : Together We Are Stronger” yang diperkenalkan
oleh YM Raja Shamri Raja Husin melalui halaman Facebook Raja Shamri.
Kedua, media sosial sedang
berkembang menjadi alat untuk menyokong pembelajaran sendiri (self-learning).
Perkongsian pengalaman, petua kejayaan dan ilmu pengetahuan banyak berlaku di
media sosial terutama Facebook. Perkongsian melalui catatan gambar, nota dan
pautan adalah kaedah yang sering digunakan. Pustakawan hanya perlu membina
lingkungan perhubungan yang baik sama ada dalam bentuk persahabatan dengan
ikon-ikon bidang tertentu, menyertai grup ahli professional, atau menjadi
pengikut halaman-halaman yang memaparkan kepakaran tertentu. Misalnya,
Pustakawan boleh mengikuti aktiviti atau catatan ikon pembelajaran kendiri di
peringkat pengajian tinggi iaitu Dr. Othman Talib atau dikenali sebagai Dr. OT.
Beliau sering mendapat perhatian dari masa ke semasa oleh para pelajar
pascasiswazah untuk mendapatkan petua-petua yang boleh memudahkan kerja-kerja
penyelidikan. Selain itu, wujudnya grup bagi berkongsi ilmu pengetahuan dan
pengalaman berkaitan dengan bidang-bidang profesional misalnya grup Sembang
Pustakawan yang kini menjadi perhatian rakan-rakan Pustakawan seluruh Malaysia.
Dengan jumlah penyertaan terkini iaitu sebanyak 3,341 ahli (sehingga 1 Oktober
2015), terdapat pelbagai pandangan, perkongsian maklumat dan perdebatan topik
yang menarik sering diketengahkan. Di samping itu juga, kempen kesedaran dan
petua-petua untuk mengelakkan diri ditipu dengan pelbagai skim atau rekabentuk
perniagaan haram hebat dikongsikan di Facebook. Halaman terkenal “Pseudoscience
Watch” yang berkempen menyedarkan masyarakat tentang kebenaran di sebalik
muslihat skim perniagaan haram sering juga mendapat perhatian dan komentar pengguna
media sosial.
Ketiga, media sosial sedang
berkembang menjadi alat melombong aset-aset “big data” bagi keperluan individu,
kerajaan dan syarikat komersil. “Big data” adalah satu istilah yang menunjukkan
bahawa alam maya sedang meletuskan berbillion data yang sangat besar, rumit dan
berhimpun secara tidak terstruktur sehingga menjadikannya sukar dikawal selia
(Boyd & Crawford, 2012). Setiap individu atau organisasi pula memerlukan
operasi mempakej semula himpunan data ini supaya dapat menghasilkan maklumat
yang menguntungkan. Namun, ianya memerlukan kepakaran untuk mencari, mengagregat,
dan silang rujuk sesuatu himpunan data
itu dengan menggunakan perisian yang lebih maju dan pantas. Kemudian, himpunan
data tersebut perlu diurus dan dianalisa lalu menghasilkan visual atau rekod
data yang menunjukkan aliran perubahan tingkah laku manusia terhadap sesuatu
keperluan atau permintaan. Selepas itu, keputusan, dasar dan perancangan yang
lebih baik dapat dijana berdasarkan rekod aliran perubahan sebenar yang
terjadi. Di Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM) berhasrat untuk
memperkasa perolehan dan pengurusan “big data” dalam industri kelapa sawit
kerana bimbang jatuh kepada pihak ketiga yang membolehkan spekulasi atau
manipulasi sehingga menjejaskan kestabilan ekonomi negara. UPM mahu libatsama
yang lebih serius dalam aspek penyelidikan “big data” terutama daripada aspek
analisa harga pasaran, aliran peluang pekerjaan, aliran industri hiliran dan
huluan, direktori pakar, ramalan penyakit bawaan serangga dan sentimen
analisis.
Penutup,
Sebagai penutup, lebih ramai Pustakawan diperlukan bagi
memperkasa penggunaan media sosial secara kolektif. Pustakawan bukan hanya sekadar fokus untuk
menambah rakan hubungan di serata dunia sahaja tetapi perlu libat sama secara lebih
menyeluruh, aktif dan lestari pada setiap blok fungsi yang dihuraikan sebelum
ini. Pustakawan juga disaran memiliki kemahiran literasi yang lebih tinggi ketika
menggunakan media sosial agar dapat mendepani cabaran-cabaran seperti yang
dinyatakan. Oleh itu, Pustakawan disaran berusaha keras untuk terus belajar dan
menyesuaikan diri dengan menggunakan tetapan-tetapan fungsi media sosial yang dihuraikan secara
lebih optimum. Hal ini adalah penting agar kerjaya Pustakawan tidak boleh terus
menerima persepsi negatif sebagai profesion yang ketinggalan zaman oleh
sesetengah golongan masyarakat.
Rujukan:
Alsanie, S. I. (2015).
Social Media (Facebook, Twitter, WhatsApp) Used, and it's Relationship with the
University Students Contact with their Families in Saudi Arabia. Universal
Journal of Psychology, 3(3), 69-72. doi: 10.13189/ujp.2015.03030
Boyd, d., &
Crawford, K. (2012). Critical questions for big data. Information,
Communication & Society, 15(5), 662-679. doi:
10.1080/1369118X.2012.678878
Estellés-Arolas, E.,
& González-Ladrón-de-Guevara, F. (2012). Towards an integrated
crowdsourcing definition. Journal of Information science, 38(2),
189-200.
Gaha, U., & Hall,
S. (2015). Sustainable Use of Social Media in Libraries. Codex: the Journal
of the Louisiana Chapter of the ACRL, 3(2), 47-67.
Ian, R., David, N., Peter,
W., Paul, H., Maggie, F., Barrie, G., . . . Carol, T. (2008). The Google
generation: the information behaviour of the researcher of the future. Aslib
Proceedings, 60(4), 290-310. doi: 10.1108/00012530810887953
Kaplan, A. M., &
Haenlein, M. (2010). Users of the world, unite! The challenges and
opportunities of Social Media. Business horizons, 53(1), 59-68. doi:
http://dx.doi.org/10.1016/j.bushor.2009.09.003
Kietzmann, J. H.,
Hermkens, K., McCarthy, I. P., & Silvestre, B. S. (2011). Social media? Get
serious! Understanding the functional building blocks of social media. Business
horizons, 54(3), 241-251.
Taylor & Francis.
(2014). Use of social media by the library: Current practices and future
opportunities. Retrieved September, 25,
2015, from http://www.tandf.co.uk/journals/access/white-paper-social-media.pdf
Wiliams, A. (2013). IRC has lost 60% of its users since 2003, but life as
a robot is just beginning. Retrieved
September 13, 2015, from http://techcrunch.com/2013/01/06/irc-has-lost-60-of-its-users-since-2003-but-life-as-a-robot-is-just-beginning/
Saturday, September 5, 2015
Persepsi graduan muda (Fresh-graduates) bidang sains perpustakaan melihat masa depan kerjaya Pustakawan di Malaysia begitu samar?
Majoriti graduan muda ijazah sarjana muda atau sarjana lanjutan bidang sains Perpustakaan tertanya-tanya, dimana hala tuju yang perlu diterokai selepas menamatkan pengajian. Pada awal pengajian, pelajar menjangkakan wujudnya peluang besar selepas bergraduasi sama ada berpeluang menjawat jawatan Pustakawan di Perpustakaan Akademik, Awam mahupun Perpustakaan Khas. Akan tetapi, hakikatnya bidang kepustakawanan kini menawarkan peluang yang semakin kecil dan sistem penggajian yang kurang menarik. Tambahan pula, graduan kini disarankan cendurung kepada bidang keusahawanan dan bidang kerjaya professional yang lain sebagai pilihan utama masa depan mereka. Mengapa perkara sebegini terjadi? Hasil tinjauan secara rawak, terdapat dua punca utama secara umum yang menyumbang kepada persepsi sebegini.
Trend mewujudkan & memperkukuhkan jawatan professsional Pustakawan kurang diambil berat pemegang taruh.
Menjadi persoalan terhadap wujudnya persepsi sebilangan graduan bahawa penawaran kerjaya sebagai Pustakawan semakin menguncup dan mengecil. Wujudnya persepsi mengatakan sesebuah organisasi hanya mewujudkan sesebuah Perpustakaan dalam keadaan keterpaksaan disebabkan perlu memenuhi kriteria dan syarat yang diperuntukkan oleh kerajaan yang bertanggungjawab dengan akreditasi dan standard pengurusan kualiti. Sekiranya tiada polisi sebegitu, Perpustakaan tidak perlu diwujudkan langsung pun bukanlah menjadi masalah dan keutamaan disebabkan kebergantungan kepada organisasi seperti Amazon.com adalah alternatif yang lebih baik.
Selain itu, struktur sistem penggajian dan halatuju perkembangan kerjaya sebagai seorang Pustakawan kurang diambil perhatian yang serius oleh pemimpin dan organisasi berpengaruh. Sebagai contoh, masih terdapat segelintir Perpustakaan yang hanya melantik seorang graduan saja bagi menjalankan keseluruhan operasi Perpustakaan dan selainnya dibantu staf pentadbiran dan staf sokongan perpustakaan yang tidak mempunyai kelayakan sijil ataupun diploma sains perpustakaan. Tambahan pula, wujud Perpustakaan yang tidak mempunyai seorang staf sokongan pun untuk membantu kerja-kerja Pustakawan. Hal ini menyebabkan seorang Pustakawan itu saja yang terpaksa menjalankan pelbagai bidang tugas untuk semua perkara. Sekiranya Pustakawan tersebut cuti sakit, staf daripada lain-lain bahagian pentadbiran akan terpaksa mengantinya. Apabila tiada penganti, Perpustakaan terpaksa ditutup.
Sementara itu, dikhabarkan terdapat beberapa organisasi yang menguruskan Perpustakaan kini berada didalam dilema disebabkan kos operasi yang semakin tinggi. Hal ini sekaligus memaksa organisasi terbabit melaksanakan proses 'downsizing'. Natijahnya, Perpustakaan menjadi mangsa untuk proses tersebut sehingga peruntukan yang sedia ada tidak mampu menampung kos operasi dan pengurusan Perpustakaan itu sendiri.
Membuka peluang kepada profesional dari lain-lain bidang menerajui Perpustakaan.
Dikhabarkan pula, kini penawaran jawatan tertinggi bagi Perpustakaan terutama dalam agensi kerajaan iaitu Ketua Pustakawan dibuka seluas-luasnya kepada mana-mana pihak. Misalnya, pegawai tadbir diplomatik atau pegawai bahagian pentadbiran dan pengurusan mahupun pensyarah yang tidak pernah berkhidmat di perpustakaan kini boleh berebut kekosongan jawatan Ketua Pustakawan dimana-mana organisasi. Apakah ini benar? dan ianya sudah berlaku?
Natijahnya, graduan baru melihat ini sebagai cabaran yang semakin kritikal dan sebagai satu tanda pengecilan peluang kepada bidang yang dipelajari. Sekaligus mewujudkan stigma samarnya masa depan kerjaya Pustakawan.
Oleh yang demikian, apakah langkah yang holistik perlu diambil bagi menangani persepsi sebegini?
(Penyataan ini adalah berdasarkan pemerhatian pandangan umum graduan-graduan muda sains Perpustakaan, sekiranya tidak bersetuju pembaca boleh memberikan komentar yang sepatutnya)
Trend mewujudkan & memperkukuhkan jawatan professsional Pustakawan kurang diambil berat pemegang taruh.
Menjadi persoalan terhadap wujudnya persepsi sebilangan graduan bahawa penawaran kerjaya sebagai Pustakawan semakin menguncup dan mengecil. Wujudnya persepsi mengatakan sesebuah organisasi hanya mewujudkan sesebuah Perpustakaan dalam keadaan keterpaksaan disebabkan perlu memenuhi kriteria dan syarat yang diperuntukkan oleh kerajaan yang bertanggungjawab dengan akreditasi dan standard pengurusan kualiti. Sekiranya tiada polisi sebegitu, Perpustakaan tidak perlu diwujudkan langsung pun bukanlah menjadi masalah dan keutamaan disebabkan kebergantungan kepada organisasi seperti Amazon.com adalah alternatif yang lebih baik.
Selain itu, struktur sistem penggajian dan halatuju perkembangan kerjaya sebagai seorang Pustakawan kurang diambil perhatian yang serius oleh pemimpin dan organisasi berpengaruh. Sebagai contoh, masih terdapat segelintir Perpustakaan yang hanya melantik seorang graduan saja bagi menjalankan keseluruhan operasi Perpustakaan dan selainnya dibantu staf pentadbiran dan staf sokongan perpustakaan yang tidak mempunyai kelayakan sijil ataupun diploma sains perpustakaan. Tambahan pula, wujud Perpustakaan yang tidak mempunyai seorang staf sokongan pun untuk membantu kerja-kerja Pustakawan. Hal ini menyebabkan seorang Pustakawan itu saja yang terpaksa menjalankan pelbagai bidang tugas untuk semua perkara. Sekiranya Pustakawan tersebut cuti sakit, staf daripada lain-lain bahagian pentadbiran akan terpaksa mengantinya. Apabila tiada penganti, Perpustakaan terpaksa ditutup.
Sementara itu, dikhabarkan terdapat beberapa organisasi yang menguruskan Perpustakaan kini berada didalam dilema disebabkan kos operasi yang semakin tinggi. Hal ini sekaligus memaksa organisasi terbabit melaksanakan proses 'downsizing'. Natijahnya, Perpustakaan menjadi mangsa untuk proses tersebut sehingga peruntukan yang sedia ada tidak mampu menampung kos operasi dan pengurusan Perpustakaan itu sendiri.
Membuka peluang kepada profesional dari lain-lain bidang menerajui Perpustakaan.
Dikhabarkan pula, kini penawaran jawatan tertinggi bagi Perpustakaan terutama dalam agensi kerajaan iaitu Ketua Pustakawan dibuka seluas-luasnya kepada mana-mana pihak. Misalnya, pegawai tadbir diplomatik atau pegawai bahagian pentadbiran dan pengurusan mahupun pensyarah yang tidak pernah berkhidmat di perpustakaan kini boleh berebut kekosongan jawatan Ketua Pustakawan dimana-mana organisasi. Apakah ini benar? dan ianya sudah berlaku?
Natijahnya, graduan baru melihat ini sebagai cabaran yang semakin kritikal dan sebagai satu tanda pengecilan peluang kepada bidang yang dipelajari. Sekaligus mewujudkan stigma samarnya masa depan kerjaya Pustakawan.
Oleh yang demikian, apakah langkah yang holistik perlu diambil bagi menangani persepsi sebegini?
(Penyataan ini adalah berdasarkan pemerhatian pandangan umum graduan-graduan muda sains Perpustakaan, sekiranya tidak bersetuju pembaca boleh memberikan komentar yang sepatutnya)
Subscribe to:
Posts (Atom)