Sunday, October 18, 2015

PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL SECARA LESTARI DI KALANGAN PUSTAKAWAN (SUSTAINABLE USE OF SOCIAL MEDIA AMONG LIBRARIANS)



Library Innovation Talk 2015 & 3rd KKPI Annual Meeting



PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL SECARA LESTARI DI KALANGAN PUSTAKAWAN
(SUSTAINABLE USE OF SOCIAL MEDIA AMONG LIBRARIANS)
Muhammad Akmal Ahmat
Bahagian Rujukan & Penyelidikan, Perpustakaan Hamzah Sendut
Universiti Sains Malaysia
Pulau Pinang, Malaysia
akmal_ahmat@usm.my

Abstract - There are many research studies that provide  recommendations for the libraries to be active in social media. This showed that social media is the important modern communication application for spread-widely the promotion of library services to local and international communities. However, how about the importance of using social media in order to increase the positive perception towards the librarian profession?. Furthermore, Why are there needs for a librarian to utilize the social media sustainably? This is an article all about.

Abstrak – Terdapat banyak kajian penyelidikan yang memberi saranan kepada Perpustakaan untuk aktif di media sosial. Hal ini menunjukkan bahawa media sosial merupakan aplikasi komunikasi moden yang penting untuk menghebah luas perkhidmatan Perpustakaan kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa. Namun, bagaimana pula kepentingan media sosial dalam meningkatkan persepsi positif masyarakat terhadap kerjaya Pustakawan?. Tambahan pula, Mengapakah wujud keperluan seseorang Pustakawan memanfaatkan penggunaan media sosial secara lestari? Hal inilah yang cuba dikupas dalam artikel ini.

            Masyarakat sedia maklum media sosial merupakan aplikasi elektronik yang membolehkan manusia berhubung dan mengakses maklumat dengan lebih mudah melalui talian internet. Rekod menunjukkan bahawa  media sosial antara menjadi pilihan utama lebih 750 juta pengguna internet pada tahun 2007 untuk berkomunikasi dan berkongsi maklumat selari dengan perkembangan pesat teknologi Web 2.0 (Ian R, 2008). Kini, terdapat 3.2 billion pengguna internet yang sedang berlegar-legar menggunakan pelbagai jenis aplikasi media sosial. Seusai peredaran zaman, pelbagai jenama dan reka bentuk aplikasi telah wujud. Permulaan sejarah moden media sosial iaitu pada tahun 1995 telah menunjukkan bahawa masyarakat dunia begitu tertarik menggunakan aplikasi IRC (Internet Relay Chat). IRC pernah menjadi pilihan utama sebagai aplikasi komunikasi internet sehingga pada tahun 2003. Populasi pengguna yang tertinggi pernah direkodkan mencapai 1 juta orang (Wiliams, A.,2013). Namun, populasi pengguna IRC kian merosot pada ketika ini. Hal yang sama juga berlaku pada aplikasi Friendster & MySpace. Ketiga-tiga aplikasi-aplikasi terbabit tidak dapat bertahan lama apabila wujud aplikasi-aplikasi yang lebih inovatif. Akibatnya, berlaku penurunan mendadak bagi populasi pengguna aplikasi-aplikasi tersebut. Kemunculan aplikasi seperti Facebook, Whatsapp, dan Twitter yang sentiasa kompetitif dan mampu berdaya saing telah berjaya menarik perhatian masyarakat dunia.  Ketiga-tiga (3) platform media sosial yang popular ini berjaya menyediakan pelbagai variasi dalam tetapan fungsi. Hal ini mendorong peningkatan populasi pengguna sehingga melebihi 300 juta ke 1.1 bilion pengguna. Menjadi persoalan kekuatan sebenar tiga (3) jenama aplikasi media sosial tersebut yang sehingga hari ini mampu kekal menyediakan perkhidmatan terbaik dan menarik minat pelbagai latar belakang golongan masyarakat termasuk Pustakawan sendiri dengan angka populasi yang sebegitu besar. Menurut Kaplan, A. M., & Haenlein, M. (2010) dan Alsanie, S. I. (2015), sebab utama aplikasi media sosial ini berjaya menarik minat pelbagai golongan adalah kerana mudah digunakan untuk berkomunikasi dalam pelbagai dimensi sama ada dalam bentuk suara, mesej secara emel, mesej bergambar, mahupun berkongsi pautan maklumat dengan satu klik sahaja. Sinergi pelbagai dimensi yang berfungsi dalam satu aplikasi ini menjadi kunci kejayaan ketiga-tiga (3) platform media sosial tersebut.

Peranan Pustakawan di Media Sosial

Dalam tempoh lima belas tahun,  terdapat lebih daripada 8,500 artikel penyelidikan yang membincangkan secara ilmiah peranan Perpustakaan dan lain-lain organisasi pengurusan maklumat terhadap isu media sosial (Gaha, U., & Hall, S. , 2015). Majoriti artikel ilmiah tersebut mendedahkan keperluan Pustakawan memainkan peranan penting di media sosial. Kenyataan popular yang sering ditekankan ialah media sosial memudahkan gerak kerja mempromosi perkhidmatan Perpustakaan. Penzahiran perkhidmatan Perpustakaan di media sosial pula dikatakan amat penting sebagai langkah mengeratkan perhubungan dengan masyarakat. Namun, timbul persoalan adakah langkah yang dilaksanakan kini sudah memuaskan hati majoriti masyarakat dan sudah cukup lestari membentuk persepsi positif terhadap kerjaya Pustakawan atau sebaliknya?. Sebagai contoh, mengapa masyarakat lebih berminat mengunjungi halaman (page) Facebook milik "Oh Media" dan "The Vocket" mahupun individu berstatus selebriti untuk mendapatkan maklumat. Mengapa halaman milik Perpustakaan mahupun Pustakawan secara individu itu sendiri kurang mendapat sambutan?. Bukankah Perpustakaan dan Pustakawan itu sendiri adalah pusat maklumat? Seterusnya, adakah Pustakawan masih ada peluang untuk menarik minat lebih ramai bilangan anggota masyarakat mengunjungi halaman milik Perpustakaan dan yang lebih penting halaman Pustakawan itu sendiri?. Ya, sebenarnya Pustakawan masih ada peluang untuk menjadi seperti yang dinyatakan dengan syarat bahawa strategi yang lebih baik dan lestari perlu dilaksanakan.

Oleh itu, apakah sebenarnya strategi-strategi yang perlu diketahui oleh semua Pustakawan?. 

Melestarikan Fungsi Media Sosial 

Menurut kajian (Gaha, U., & Hall, S. , 2015) Pustakawan disaran melestarikan penggunaan media sosial. Kelestarian yang dimaksudkan adalah Pustakawan perlu mengimbangi dan melibat sama secara berterusan dan produktif  ketika menggunakan aplikasi media sosial. Kelestarian penggunaan aplikasi media sosial akan lebih mudah dilakukan dengan memahami dan mengaplikasikan konsep asas blok-blok fungsi seperti berikut. Kietzmann, J. H., Hermkens, K., McCarthy, I. P., & Silvestre, B. S. (2011) mengetengahkan tujuh (7) blok fungsi yang perlu diberi perhatian semasa menggunakan media sosial, iaitu:-
Blok fungsi pertama adalah paparan identiti. Pustakawan seharusnya perlu mencipta nama organisasi atau nama persendirian yang mudah diingati oleh komuniti media sosial. Kemudian, maklumat yang dipaparkan pula perlu jelas dan telus terutama gambar, bidang kepakaran, dan perkhidmatan atau produk yang disediakan. Hal ini amat penting sebagai satu cara untuk memperkenalkan diri sebagai seorang Pustakawan yang telus tanpa prejudis serta menunjukkan niat yang baik tanpa ada agenda tersembunyi. Malah, bagi setiap Pustakawan yang menjadi pentadbir halaman atau grup adalah perlu untuk memaparkan identiti yang sebenar dan boleh dipercayai. Lantaran itu, pengikut sesebuah halaman media sosial itu dapat mempercayai ketelusan objektif grup atau halaman yang dibina. Sekaligus, pengikut juga akan mengikuti jejak langkah yang sama dengan memaparkan identiti yang sebenar. Pustakawan perlu sedar bahawa identiti adalah jenama bagi seseorang individu atau organisasi. Pustakawan perlu menonjolkan identiti dengan perilaku yang lebih peramah dan ceria. Di samping itu juga, Pustakawan wajib mengetahui tentang kerahsiaan dan privasi sesuatu maklumat seperti nombor kad pengenalan, tarikh lahir, dan nombor kad kredit yang tidak boleh sewenang-wenangnya didedahkan di media sosial.
Blok fungsi kedua adalah rekabentuk perbincangan. Media sosial menawarkan tetapan fungsi kepada pengguna bagi membolehkan rakan-rakan atau pengikut berbincang secara terbuka atau tertutup. Pustakawan semestinya digalak membina perbincangan yang matang. Antara kaedah-kaedah yang boleh dilakukan untuk membina perbincangan secara matang adalah seperti berikut. Sebagai permulaan, Pustakawan perlu menetapkan objektif sesuatu perbincangan yang ingin dibina. Selanjutnya, Pustakawan perlu menetapkan sesi perbincangan tersebut dibuat secara tertutup atau terbuka sama ada di ruang personal atau grup media sosial. Kemudian, Pustakawan perlu mengolah dan mentadbir sesuatu perbincangan ke arah merungkai jalan penyelesaian terhadap sesuatu isu. Semasa perbincangan berlangsung, Pustakawan boleh menyampaikan idea dengan pelbagai bentuk mesej sama ada teks, gambar, video mahupun pautan laman sesawang. Setiap sesi perbincangan pula perlu mengikut garis panduan yang bersesuaian dengan batas-batas tertentu berdasarkan norma-norma peradaban manusia. Elakkan sesuatu perdebatan yang boleh membawa kemudaratan kepada orang lain seperti pertelingkahan yang tiada henti, sehingga boleh membawa kepada ancaman bunuh. Pustakawan juga perlu mahir mengalirkan arus positif dalam mengetengahkan idea dan tahu bagaimana mesej yang hendak disampaikan tepat ke sasarannya.
            Blok fungsi ketiga adalah tatacara perkongsian maklumat. Pustakawan perlu mahir mendapatkan maklumat yang sahih, mengolah dengan teratur dan menghebahkan ke saluran yang diperlukan serta yang lebih penting adalah hebahan tersebut dilakukan tepat pada masanya. Dengan kata yang lebih mudah, setiap perkongsian maklumat memerlukan teknik yang betul dan efektif. Walaubagaimanapun, setiap perkongsian maklumat juga perlu menitikberatkan kesan akan wujudnya salah faham dan persepsi negatif. Elakkan perkongsian maklumat yang boleh mengancam keselamatan diri dan orang lain seperti pemberitahuan maklumat lokasi dan data peribadi sehingga memberi peluang kepada penjenayah siber menjalankan modus operandi jenayah. Pustakawan juga perlu diingatkan tentang perlunya berhati-hati ketika menyampaikan maklumat yang kurang sahih. Ketika itu sebenarnya tahap professional Pustakawan diuji dalam memastikan kesahihan sesuatu kandungan mesej atau maklumat tersebut. Sementara itu, isu hak cipta dan harta intelek juga perlu dititikberatkan; terutama sebelum, semasa dan selepas mencipta sesuatu video kompilasi dengan menggunakan lagu latar yang dilindungi oleh pencipta sesebuah lagu, atau berkongsi imej dan warkah penulisan yang dicedok daripada buku atau medium yang lain.
            Blok fungsi keempat adalah tahap kebolehlihatan. Fungsi media sosial ini memberi peluang kepada Pustakawan untuk menonjolkan diri sehingga menjadi perhatian pengguna-pengguna media sosial yang belum dikenali. Terpulang kepada setiap Pustakawan yang bergerak aktif di media sosial untuk menentukan sama ada tahap kebolehlihatan yang diingini berada pada radius rakan-rakan terdekat sahaja atau ke peringkat yang lebih meluas; dimana sesiapa sahaja boleh lihat aktiviti Pustakawan terbabit. Perlu diingat sekali lagi, seluas mana radius kebolehlihatan tersebut dilaksanakan; isu keselamatan juga perlu diutamakan. Perlu diingat bahawa setiap aplikasi media sosial ada kekangan tetapan fungsi. Pustakawan tidak boleh meletakkan seratus peratus kebergantungan kepada aplikasi media sosial untuk melindungi hak privasi.
            Blok fungsi kelima adalah pembentukan perhubungan. Media sosial memberi variasi kepada Pustakawan sama ada ingin mewujudkan perhubungan secara formal atau tidak formal. Terdapat pelbagai bentuk tetapan fungsi perhubungan boleh ditentukan seperti “follower”, “like”, “connect” ataupun “close friends”. LinkedIn dan Academia.edu adalah antara contoh aplikasi media sosial yang membolehkan Pustakawan mewujudkan perhubungan secara formal dan professional. Seterusnya, Whatsapp dan WeChat pula adalah contoh aplikasi media sosial yang mewujudkan perhubungan tidak formal. Aplikasi tersebut seakan sama dengan “Short Message Service” (SMS) dan “Multimedia Messaging Service” (MMS). Namun, terdapat perbezaan dari segi variasi tetapan fungsi yang disediakan iaitu perkongsian gambar dan pembentukan “group chat”. Selanjutnya, Facebook pula menyediakan tetapan fungsi yang lebih banyak dimana Pustakawan boleh mewujudkan dua dalam satu bentuk perhubungan sama ada formal dan tidak formal.
            Blok fungsi keenam adalah pembinaan reputasi. Aplikasi media sosial menyediakan tetapan fungsi yang berkonsepkan “Mechanical Turk” bagi membolehkan sesebuah aplikasi itu menghidupkan tarikan visibiliti secara automatik bermula disekeliling pengikut atau rakan terdekat sehingga ke peringkat yang lebih meluas melangkaui kebolehlihatan pelbagai latar belakang pengguna media sosial di serata dunia. Pustakawan hanya perlu mahir menyusun atur dan menyampaikan pelbagai bentuk kandungan mesej atau maklumat; tidak kira teks, audio atau video yang menarik perhatian. Dengan kaedah tersebut, pengikut dan rakan Pustakawan akan terdorong untuk berkongsi mesej yang diterbitkan sehingga wujud peningkatan dari segi “rating” dan “viral” ke tahap yang lebih meluas. Kesannya, lebih banyak penyertaan rakan dan pengikut yang baru ke halaman media sosial Pustakawan itu sendiri. Acap kali kandungan mesej yang sering mendapat “viral” tertinggi adalah mesej atau maklumat berbentuk video yang dilakon semula. Contohnya, adaptasi video lagu “Let it go” yang dinyanyikan semula Alex Boyé bersama One Voice Children’s Choir yang telah mencapai lebih daripada 71 juta kali tontonan.
            Blok fungsi ketujuh adalah pembinaan pengaruh kumpulan. Aplikasi media sosial menyediakan tetapan fungsi untuk membina pengaruh sesebuah kumpulan, grup atau forum yang ditadbir dan dikawal selia oleh seorang individu atau lebih. Pentadbir kumpulan tersebut selalunya diberikan kelebihan-kelebihan fungsi tertentu; contohnya, menerima, menolak dan menyenarai hitam penyertaan mana-mana ahli kumpulan. Setiap grup atau kumpulan yang mempunyai lebih besar jaringan ahlinya, maka adalah lebih besar tanggungjawab pentadbir kumpulan tersebut. Selagi mana ahli kumpulan menyampaikan pandangan masing-masing terhadap sesuatu perkara atau perkongsian maklumat itu dengan tertib dan berhemah, ianya tidak menjadi masalah kepada pentadbir. Pentadbir hanya perlu menggunakan tetapan fungsi pada aplikasi dengan cara autokratik pada situasi yang kritikal sahaja. Terpulang juga kepada polisi dan kata sepakat sesuatu grup atau kumpulan itu. Ahli kumpulan pula perlu mahir mengadaptasi situasi untuk melibat sama dalam aktiviti grup. Dengan itu, tidak mustahil mana-mana ahli kumpulan yang cemerlang berinteraksi pula dilantik sebagai pentadbir.
Daripada huraian ketujuh-tujuh blok fungsi tersebut, Pustakawan perlu diingatkan supaya mengambil langkah mengurus yang efisyen bagi mengelakkan diri sendiri dalam keadaan keliru dan kepenatan akibat terlalu lama menggunakan terlalu banyak aplikasi media sosial dalam satu-satu masa. Hal ini boleh dielakkan dengan mengaplikasikan konsep “Plan, Do, Check, Action” (PDCA) atau “Specific Measurable, Assignable, Realistic, dan Time-related” (SMART) ketika menggunakan media sosial.

Cabaran melestarikan penggunaan Media Sosial

            Terdapat pelbagai cabaran melestarikan penggunaan media sosial. Namun, menurut kajian Taylor & Francis (2014), terdapat tiga (3) cabaran utama yang perlu dihadapi oleh Pustakawan semasa menggunakan media sosial secara aktif. Dapatan kajian yang tersebut menyatakan bahawa seramai 67% daripada 497 responden yang terdiri daripada Pustakawan menyatakan kesukaran mengurus masa dan menggunakan sumber sedia ada di media sosial. Selain itu, 64% responden mengatakan sukar mengolah nada berkomunikasi sama ada dalam keadaan ton formal atau tidak formal ketika membina perbincangan. Seterusnya, 61% responden menyatakan sukar membuat pengguna media sosial peka terhadap aktiviti Perpustakaan di media sosial.
Namun begitu, terdapat dua perkara yang sebenarnya mencabar Pustakawan terutama di Malaysia.  Dua perkara tersebut adalah:-
Pertama, kebolehupayaan seseorang Pustakawan itu mengadaptasi dengan pantas terhadap pelbagai rekabentuk dan perubahan ciri-ciri tetapan fungsi yang kerap berlaku dalam aplikasi media sosial. Pustakawan perlu mahir memerhati dan sentiasa bersedia mempelajari kaedah menggunakan tetapan fungsi yang disediakan oleh aplikasi media sosial. Selain itu, Pustakawan juga perlu tahu kelebihan dan kekurangan yang ada dalam satu-satu jenis aplikasi media sosial. Hal ini kerana terdapat pelbagai jenis aplikasi media sosial yang dicipta dengan tujuan tertentu dan Pustakawan perlu pilih jenis aplikasi media sosial yang sesuai dengan keperluan dirinya. Sebagai contoh, Pustakawan akademik digalakkan menggunakan LinkedIn dan Academia.edu untuk meningkatkan kompetensi sosial dengan ahli akademik dan penyelidik professional yang merupakan skop pelanggan mereka.
Kedua, kebolehupayaan membudayakan amalan dan melaksanakan polisi terbaik ketika menggunakan media sosial. Majoriti Pustakawan sukar membudayakan amalan terbaik ketika menggunakan media sosial bagi memastikan aura perhubungan yang diciptanya sentiasa berada dalam keadaan yang telus dan positif. Misalnya, terdapat Pustakawan yang masih menggunakan identiti proksi yang dikenali sebagai “internet sockpuppet” terutama apabila memberi komentar dalam sesebuah perbincangan dalam grup mahupun halaman media sosial yang besar. Seharusnya, Pustakawan yang tidak bersehaluan dengan sesuatu perkara perlu berani menggunakan identiti sendiri. Selain itu, pelaksanaan polisi terbaik seperti halangan terhadap catatan yang berunsur lucah dan perilaku buli di halaman media sosial perlu dikuatkuasakan. Walaupun begitu, Pustakawan sebenarnya dicabar dengan keadaan yang diluar kawalan. Sebagai contoh, terdapat sebaran virus catatan lucah yang sering menular dalam grup dan halaman persendirian Facebook tanpa pengetahuan pemunya identiti itu sendiri. Hal sebegini sedikit sebanyak boleh menjejaskan imej Pustakawan sekiranya dilantik sebagai  pentadbir sesebuah halaman media sosial. Oleh itu, Pustakawan perlu sentiasa peka dan menangani isu terbabit dengan pantas dan terkawal.

Masa Depan Media Sosial

Untuk pengetahuan, media sosial kini bukan sahaja semata-mata bertujuan sebagai aplikasi penghubungan antara sesama manusia secara atas talian malah lebih daripada itu. Pustakawan boleh lihat bahawa aliran semasa perubahan media sosial yang sedang berkembang ke arah situasi seperti berikut;
Pertama, media sosial sedang berkembang sebagai alat perantara untuk menjana pendapatan. Sesiapapun malah Pustakawan kini boleh mula mencipta dan menawarkan langganan perkhidmatan serta penjualan produk yang lebih inovatif di media sosial; antaranya adalah dengan menawarkan perkhidmatan berbayar dalam aplikasi permainan atas talian. Nampak jangkal dan sukar dilaksanakan. Namun, lihatlah kejayaan pencipta permainan Farmville iaitu Mark Pincus; yang asalnya merupakan penganalisis kewangan tetapi berjaya menjana aset pendapatan sehingga USD 1 billion dengan menawarkan perkhidmatan berbayar selepas jualan untuk aplikasi tersebut. Untuk pengetahuan, permainan Farmville sebenarnya membolehkan seseorang pemain melibatkan diri secara maya dalam pelbagai aspek pengurusan peladangan seperti membajak tanah, penyemaian dan penuaian tanaman serta meningkatkan ternakan haiwan. Walaupun objektifnya tampak sekadar hiburan semata-mata tetapi secara tidak langsung, seseorang pemain juga sebenarnya dapat membina tahap literasi maklumat yang lebih baik berkaitan dengan bidang peladangan meskipun dalam bentuk visual semata-mata. Di samping itu, sungguhpun terdapat sebilangan pengguna media sosial tidak gemar aplikasi permainan Farmville ini; namun, Farmville masih berjaya menarik perhatian kelompok pemain yang tersendiri. Selain itu, wujud konsep baru dalam menjana pendapatan yang kini giat berlaku di media sosial. Ianya dikenali sebagai “crowdsourcing” atau “crowdfunding”. Konsep sebegini dihuraikan oleh Enrique Estellés-Arolas & Fernando González Ladrón-de-Guevara (2012), sebagai proses mendapatkan dana bagi merealisasikan sesebuah idea atau kempen, atau menyampaikan sesuatu perkhidmatan  yang bukan berunsur keuntungan atau komersil semata-mata; iaitu dengan meminta sumbangan secara atas talian daripada individu-individu atau organisasi yang teruja melihat sesuatu idea tersebut untuk dilaksanakan. Dengan kaedah “crowdsourcing”, sesebuah projek atau kempen boleh dijayakan dengan sokongan modal yang kuat daripada orang ramai tanpa melalui proses birokrasi pinjaman bank. Akan tetapi, setiap fasa pelaksanaan projek perlu disertakan laporan secara kerap di media sosial. Di Malaysia, projek “crowdsourcing” yang dikatakan paling berjaya adalah projek “the Third (3rd) Force : Together We Are Stronger” yang diperkenalkan oleh YM Raja Shamri Raja Husin melalui halaman Facebook Raja Shamri.
Kedua, media sosial sedang berkembang menjadi alat untuk menyokong pembelajaran sendiri (self-learning). Perkongsian pengalaman, petua kejayaan dan ilmu pengetahuan banyak berlaku di media sosial terutama Facebook. Perkongsian melalui catatan gambar, nota dan pautan adalah kaedah yang sering digunakan. Pustakawan hanya perlu membina lingkungan perhubungan yang baik sama ada dalam bentuk persahabatan dengan ikon-ikon bidang tertentu, menyertai grup ahli professional, atau menjadi pengikut halaman-halaman yang memaparkan kepakaran tertentu. Misalnya, Pustakawan boleh mengikuti aktiviti atau catatan ikon pembelajaran kendiri di peringkat pengajian tinggi iaitu Dr. Othman Talib atau dikenali sebagai Dr. OT. Beliau sering mendapat perhatian dari masa ke semasa oleh para pelajar pascasiswazah untuk mendapatkan petua-petua yang boleh memudahkan kerja-kerja penyelidikan. Selain itu, wujudnya grup bagi berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman berkaitan dengan bidang-bidang profesional misalnya grup Sembang Pustakawan yang kini menjadi perhatian rakan-rakan Pustakawan seluruh Malaysia. Dengan jumlah penyertaan terkini iaitu sebanyak 3,341 ahli (sehingga 1 Oktober 2015), terdapat pelbagai pandangan, perkongsian maklumat dan perdebatan topik yang menarik sering diketengahkan. Di samping itu juga, kempen kesedaran dan petua-petua untuk mengelakkan diri ditipu dengan pelbagai skim atau rekabentuk perniagaan haram hebat dikongsikan di Facebook. Halaman terkenal “Pseudoscience Watch” yang berkempen menyedarkan masyarakat tentang kebenaran di sebalik muslihat skim perniagaan haram sering juga mendapat perhatian dan komentar pengguna media sosial.
Ketiga, media sosial sedang berkembang menjadi alat melombong aset-aset “big data” bagi keperluan individu, kerajaan dan syarikat komersil. “Big data” adalah satu istilah yang menunjukkan bahawa alam maya sedang meletuskan berbillion data yang sangat besar, rumit dan berhimpun secara tidak terstruktur sehingga menjadikannya sukar dikawal selia (Boyd & Crawford, 2012). Setiap individu atau organisasi pula memerlukan operasi mempakej semula himpunan data ini supaya dapat menghasilkan maklumat yang menguntungkan. Namun, ianya memerlukan kepakaran untuk mencari, mengagregat, dan silang rujuk  sesuatu himpunan data itu dengan menggunakan perisian yang lebih maju dan pantas. Kemudian, himpunan data tersebut perlu diurus dan dianalisa lalu menghasilkan visual atau rekod data yang menunjukkan aliran perubahan tingkah laku manusia terhadap sesuatu keperluan atau permintaan. Selepas itu, keputusan, dasar dan perancangan yang lebih baik dapat dijana berdasarkan rekod aliran perubahan sebenar yang terjadi. Di Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM) berhasrat untuk memperkasa perolehan dan pengurusan “big data” dalam industri kelapa sawit kerana bimbang jatuh kepada pihak ketiga yang membolehkan spekulasi atau manipulasi sehingga menjejaskan kestabilan ekonomi negara. UPM mahu libatsama yang lebih serius dalam aspek penyelidikan “big data” terutama daripada aspek analisa harga pasaran, aliran peluang pekerjaan, aliran industri hiliran dan huluan, direktori pakar, ramalan penyakit bawaan serangga dan sentimen analisis.

Penutup,

Sebagai penutup, lebih ramai Pustakawan diperlukan bagi memperkasa penggunaan media sosial secara kolektif. Pustakawan bukan hanya sekadar fokus untuk menambah rakan hubungan di serata dunia sahaja tetapi perlu libat sama secara lebih menyeluruh, aktif dan lestari pada setiap blok fungsi yang dihuraikan sebelum ini. Pustakawan juga disaran memiliki kemahiran literasi yang lebih tinggi ketika menggunakan media sosial agar dapat mendepani cabaran-cabaran seperti yang dinyatakan. Oleh itu, Pustakawan disaran berusaha keras untuk terus belajar dan menyesuaikan diri dengan menggunakan tetapan-tetapan fungsi media sosial yang dihuraikan secara lebih optimum. Hal ini adalah penting agar kerjaya Pustakawan tidak boleh terus menerima persepsi negatif sebagai profesion yang ketinggalan zaman oleh sesetengah golongan masyarakat. 





Rujukan:
Alsanie, S. I. (2015). Social Media (Facebook, Twitter, WhatsApp) Used, and it's Relationship with the University Students Contact with their Families in Saudi Arabia. Universal Journal of Psychology, 3(3), 69-72. doi: 10.13189/ujp.2015.03030

Boyd, d., & Crawford, K. (2012). Critical questions for big data. Information, Communication & Society, 15(5), 662-679. doi: 10.1080/1369118X.2012.678878

Estellés-Arolas, E., & González-Ladrón-de-Guevara, F. (2012). Towards an integrated crowdsourcing definition. Journal of Information science, 38(2), 189-200.

Gaha, U., & Hall, S. (2015). Sustainable Use of Social Media in Libraries. Codex: the Journal of the Louisiana Chapter of the ACRL, 3(2), 47-67.

Ian, R., David, N., Peter, W., Paul, H., Maggie, F., Barrie, G., . . . Carol, T. (2008). The Google generation: the information behaviour of the researcher of the future. Aslib Proceedings, 60(4), 290-310. doi: 10.1108/00012530810887953

Kaplan, A. M., & Haenlein, M. (2010). Users of the world, unite! The challenges and opportunities of Social Media. Business horizons, 53(1), 59-68. doi: http://dx.doi.org/10.1016/j.bushor.2009.09.003

Kietzmann, J. H., Hermkens, K., McCarthy, I. P., & Silvestre, B. S. (2011). Social media? Get serious! Understanding the functional building blocks of social media. Business horizons, 54(3), 241-251.

Taylor & Francis. (2014). Use of social media by the library: Current practices and future opportunities.   Retrieved September, 25, 2015, from http://www.tandf.co.uk/journals/access/white-paper-social-media.pdf

Wiliams, A. (2013). IRC has lost 60% of its users since 2003, but life as a robot is just beginning.   Retrieved September 13, 2015, from http://techcrunch.com/2013/01/06/irc-has-lost-60-of-its-users-since-2003-but-life-as-a-robot-is-just-beginning/


No comments:

Post a Comment